
3. Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah*, daging babi, dan (daging) haiwan yang disembelih bukan atas (nama) Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih**. Dan (diharamkan pula) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan pula) mengundi nasib dengan azlam (anak panah)*** (kerana) ini suatu perbuatan fasik. Pada hari ini**** orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu. Pada hari ini Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan Aku redha Islam sebagai agamamu. Tetapi barang siapa terpaksa***** kerana lapar bukan kerana ingin berbuat dosa, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
* Darah yang keluar dari tubuh, sebagaimana tersebut dalam Al-An'am (6).
** Haiwan yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas adalah halal kalau sempat disembelih sebelum mati.
*** Al-Azlam ertinya anak panah yang belum memakai bulu. Orang Arab Jahiliah menggunakan anak panah yang belum memakai bulu untuk menentukan apakah mereka akan melakukan suatu perbuatan atau tidak. Caranya ialah : mereka ambil tiga buah anak panah yang belum memakai bulu. Setelah ditulis masing-masing iaitu dengan "lakukanlah", "jangan lakukan", sedang yang ketiga tidak ditulis apa-apa, diletakkan dalam sebuah tempat dan simpan dalam Ka'bah. Bila mereka hendak melakukan sesuatu perbuatan maka mereka meminta agar juru kunci Ka'bah mengambil sebuah anak panah itu. Terserahlah nanti apakah mereka akan melakukan atau tidak melakkan sesuatu, sesuai dengan tulisan anak panah yang diambil itu. Kalau yang terambil anak panah yang tidak ada tulisannya, maka undian diulangi sekali lagi.
**** Yang dimaksudkan dengan hari ini ialah : masa haji wada', haji terakhir yang dilakukan oleh Muhammad saw.
***** Dibolehkan memakan makanan yang diharamkan oleh ayat ini jika terpaksa.
4. Mereka bertanya kepadamu (Muhammad), "Apakah yang dihalalkan bagi mereka?" Katakanlah, "yang dihalalkan bagimu (adalah makanan) yang baik-baik dan (buruan) yang ditangkapnya untukmu*, dan sebutlah nama Allah (waktu melepasnya). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat cepat perhitungan-Nya.
* Buruan yang ditangkap binatang buas semata-mata untukmu dan tidak dimakan sedikit pun oleh binatang itu.
5. Pada hari ini dihalalkan bagimu segala yang baik-baik. Makanan (sembelihan) Ahli Kitab itu halal bagimu, dan makananmu halal bagi mereka. Dan (dihalalkan) bagimu* (menikahi) wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita yang beriman dan wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu, apabila kamu membayar maskahwin mereka untuk menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan bukan untuk menjadikan perempuan piaraan. Barang siapa kafir setelah beriman maka sungguh, sia-sia amal mereka dan di akhirat dia termasuk orang-orang yang rugi.
* Ada yang mengatakan perempuan-perempuan yang merdeka.